Rupanya Individu Yang Rabun Warna Masih Boleh Mengenal Pasti Warna

Apabila disebut rabun warna, pasti ramai di antara kita yang membayangkan individu yang mengalami rabun warna ini hanya nampak hitam dan putih sahaja dalam kehidupannya. Namun apa yang anda bayangkan itu adalah salah. Individu yang mengalami rabun warna ini masih boleh mengenal pasti warna tetapi persepsi warnanya sahaja yang berbeza dengan orang yang mempunyai penglihatan warna yang normal.

Jadi sebenarnya individu yang mempunyai rabun warna ini masih boleh mengenal pasti warna walaupun mereka mempunyai kesukaran untuk membezakan warna terang dan warna gelap.

rabun warna

Apakah faktor rabun warna ini?

  • Kongenital/sejak lahir: Kebanyakan penyebab utama rabun warna adalah faktor kongenital (sejak lahir). Ini bermakna, masalah ini telah ada pada kanak-kanak itu disebabkan oleh pembawaan genetik dari keturunan.
  • Kesan daripada penyakit yang dihidapi. Contohnya seperti kencing manis, faktor penuaaan (Age related Macular Degenaration), glaukoma, katarak, kecederaan mata dan juga kesan sampingan sesetengah ubat seperti ubat bagi penyakit artritis rheumatoid dan ubat bagi penyakit Tuberculosis (TB).

Apakah rawatan untuk rabun warna?

  • Tiada ubatan boleh menyembuhkan penghidap rabun warna sejak lahir.
  • Terdapat alat optikal iaitu ChromaGen yang terdiri daripada kanta lekap dan cermin mata khas dengan penapis warna tertentu dapat membantu untuk meningkatkan tona warna lantas mampu membezakan warna-warna defek dengan lebih mudah.
  • Rabun warna yang disebabkan oleh penyakit akan kembali normal setelah penyakit tersebut sembuh.
  • Rabun warna disebabkan penyakit atau kesan sampingan ubat biasanya akan kekal jika terdapat kerosakan pada sel kon di retina atau saraf mata.