Perbezaan Rabun Dekat & Rabun Tua Yang Pastinya Ramai Tak Tahu

Rabun dekat dan rabun tua akan mengalami situasi yang sama iaitu kabur pada jarak dekat. Namun kedua-dua rabun ini adalah masalah penglihatan yang berbeza. Sebarang objek akan dilihat secara jelas sekiranya imej terbentuk di atas retina. Tiga komponen mata yang membantu anda untuk melihat dengan jelas adalah seperti berikut.

  • Kuasa kornea iaitu bahagian mata yang paling hadapan
  • Kuasa kanta mata
  • Panjang bola mata

Rajah 1 : Anatomi mata

Mata akan menjadi kabur sekiranya terdapat satu atau lebih komponen berada di luar julat normal. Kedaan ini disebabkan oleh mata gagal untuk memfokus dengan tepat di atas retina.

HIPEROPIA

Rabun dekat atau turut dikenali sebagai hiperopia merupakan satu keadaan di mana objek dekat menjadi kabur tetapi objek jauh kelihatan jelas. Rabun dekat boleh dialami oleh semua peringkat umur.

PRESBIOPIA

Seseorang yang mengalami rabun tua atau presbiopia akan mempunyai penglihatan dekat yang kabur walaupun sudah memakai cermin mata untuk membetulkan rabun jauh atau rabun dekat.

PUNCA

Rabun dekat terjadi apabila imej sesuatu objek yang dilihat, terfokus di belakang retina seperti rajah di bawah.

Rajah 2 : Perbezaan imej bagi objek jauh untuk mata normal dan rabun dekat

Rabun dekat disebabkan oleh :

  • Kuasa kornea kurang dari nilai normal
  • Kuasa kanta mata kurang dari nilai normal
  • Panjang mata lebih pendek berbanding orang normal

Rabun tua berlaku kerana proses penuaan semulajadi yang terjadi akibat kanta mata telah menjadi keras dan kurang fleksibel. Keadaan ini menghalang proses penebalan dan seterusnya mengakibatkan imej objek terfokus di belakang retina.

Rajah 3: Perbezaan imej bagi objek dekat untuk mata normal dan rabun tua

 RABUN DEKAT  RABUN TUA
Kabur pada jarak dekat tetapi terang pada jarak jauh. Orang muda mungkin tidak mengalami apa-apa gejala Kabur pada jarak dekat
Rabun dekat yang tinggi akan mengakibatkan kabur pada jarak jauh dan dekat serta perlu mengecilkan mata untuk melihat jelas Kabur pada jarak dekat. Mengecilkan mata kurang membantu untuk nampak lebih jelas
Mata letih dan sakit kepala terutamanya selepas melakukan kerja dekat atau membaca Mata letih dan sakit kepala terutamanya selepas melakukan kerja dekat atau membaca
Memegang bahan bacaan pada jarak biasa Perlu memegang bahan bacaan lebih jauh dari biasa
Pencahayaan biasa Perlu pencahayaan yang terang
Tiada perbezaan ketara dengan peningkatan umur Gejala bertambah teruk dengan peningkatan umur

KOMPLIKASI

Orang Dewasa

  • Jika rabun dekat dan rabun tua tidak dibetulkan, ia akan mengakibatkan gejala seperti di atas. Keadaan ini turut menjejaskan tumpuan dan prestasi kerja.

Kanak-kanak

  • Rabun dekat pada kanak-kanak yang tidak dirawat awal boleh menyebabkan keadaan ‘mata malas’ atau turut dikenali sebagai ambliopia

RAWATAN

1. Cermin Mata
Cermin mata merupakan satu cara yang selamat dan menjadi pilihan ramai. Cermin mata untuk merawat rabun tua boleh didapati dalam bentuk cermin mata baca (selapis), bifocal (dua lapis) atau multifocal (banyak lapis).

Rajah 4 : Pembetulan rabun dekat dan rabun tua dengan menggunakan cermin mata

2. Kanta Lekap
Kini terdapat kanta lekap bifokal dan multifokal untuk merawat rabun tua. Kanta lekap memberikan penglihatan yang jelas dan medan penglihatan yang lebih besar. Walaubagaimanapun, tidak semua orang sesuai memakai kanta lekap. Sebelum memakai kanta lekap, seseorang itu perlu menjalani pemeriksaan komprehensif dari Pegawai Optometri atau Pakar Oftalmologi yang bertauliah.
3. Pembedahan Refraktif
Pembedahan dilakukan oleh Pakar Oftalmologi di mana permukaan kornea diubah bentuknya secara kekal bagi mengatasi masalah rabun.

P/S : Mata anda kabur atau mempunyai masalah? Jom dapatkan konsultasi percuma di Oasis Optometry. Anda boleh tempah slot temujanji sekarang di sini.